Polis menahan tiga pengarang portal berita, The Malaysian Insider bagi membantu siasatan berhubung artikel yang disiarkan minggu lalu.
Tiga yang ditahan itu melibatkan pengarang urusan, Lionel Morais; pengarang rencana Bahasa Malaysia dan penganalisis, Zulkifli Sulong dan pengarang berita Bahasa Malaysia, Amin Iskandar.
Pada Khamis, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menerusi akaun Twiter beliau @KBAB51 memberitahu pihaknya akan memanggil Ketua Pengarang portal berkenaan berhubung artikel yang disiarkan.
Portal berita itu memuatnaik artikel mengenai Majlis Raja-Raja menolak cadangan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 semasa mesyuarat pada 11 Mac.
Bagaimanapun, Artikel tersebut yang memetik sumber-sumber berkata, penolakan terhadap pindaan Akta Persekutuan telah dibuat pada mesyuarat yang dihadiri oleh semua Raja-Raja Melayu atau wakil-wakil mereka.
Namun pada Khamis, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad menafikan mengeluarkan apa-apa kenyataan mengenai hudud di Kelantan dan telah membuat laporan polis agar siasatan mengenai perkara itu dapat dijalankan.
Terdahulu pada pukul 6.30 petang Isnin, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyerbu pejabat portal berita itu.