Seorang pegawai bank maut manakala seorang rakan sekerjanya cedera akibat ditikam seorang pengawal keselamatan yang tiba-tiba mengamuk di sebuah bank di Taman Molek, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Seri Alam Supt Abdul Samad Salleh berkata kejadian berlaku kira-kira 3.30 petang ketika pelanggan sedang menunggu giliran untuk berurusan di bank itu.
Menurutnya, suspek berusia dalam lingkungan 40-an menggunakan pisau untuk menikam pegawai lelaki itu di bahagian leher dan muka sebelum menyerang seorang pegawai wanita.
“Bagaimanapun, wanita itu hanya cedera dan dihantar ke Hospital Sultan Ismail untuk rawatan,” kata Abdul Samad kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.
Katanya suspek yang merupakan warga tempatan sempat ditahan di tempat kejadian susulan tindakan pantas orang awam memaklumkan kejadian itu kepada pihak polis.
“Polis anggap kes ini selesai kerana sudah berjaya menahan suspek dan senjata yang digunakan juga telah dirampas.
“Soal berapa lama dia (suspek) berkhidmat (sebagai pengawal keselamatan) dan apakah motif dia berbuat demikian, semua itu sedang disiasat dan (rakaman) kamera litar tertutup (CCTV) yang ada dalam bank akan diambil untuk membantu siasatan,” katanya dan menurutnya kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Sementara itu, menurut saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Wong, 53, semasa kejadian, dia sedang menunggu giliran untuk berurusan dengan pegawai di kaunter bank berkenaan.
“Semasa saya datang, dia (suspek) sempat beri saya nombor giliran dan kemudian dia berlalu.
“Selepas itu, selang 10 minit saya terdengar bunyi bising di bahagian belakang sebelum pengawal itu datang ke arah kami mundar-mandir sambil memegang pisau. Semua pelanggan yang ada terkejut ketika itu dan terus lari keluar menyelamatkan diri,” katanya.
Wong berkata beliau selalu berurusan di bank itu dan tidak pernah melihat suspek sebelum ini.
“Mungkin dia (suspek) masih baru di sini dan dia juga tidak dibekalkan dengan apa-apa senjata api berbanding dengan seorang lagi pengawal keselamatan,” katanya.