Satu siasatan menyeluruh mengenai insiden kemalangan jalan raya yang meragut nyawa pasangan suami isteri dan bayi mereka di Lebuh Raya Damansara Ulu Kelang (DUKE ) pada awal pagi Sabtu akan dilakukan segera oleh dua agensi penguatkuasa.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi berkata, dua agensi terbabit iaitu polis dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) yang bernaung dibawah kementeriannya akan menjalankan siasatan secara rapi berhubung perkara itu.
Menurutnya, beliau akan meminta MIROS meneliti rakaman kamera litar tertutup yang dipasang di lebuh raya berkenaan sementara polis pula akan menjalankan siasatan secara teknikal dengan melihat kesan selepas kejadian itu berlaku dari pelbagai sudut.
“Saya mahu keputusan siasatan ini diketahui secepat mungkin agar tindakan dapat diambil segera.
“Kita mahu pembelaan terhadap keluarga mangsa diberikan serta meredakan kemarahan ramai yang mengetahui tentang kejadian itu,” katanya ketika ditemui di Rumah Johor, di Kampung Parit Raja, di sini pada Ahad.
Aziz menegaskan, tidak ada yang akan terlepas dengan tindakan undang-undang meskipun dalam apa jua keadaan kerana insiden yang berlaku itu melibatkan kehilangan nyawa.
Dalam kejadian pada awal pagi semalam, tiga beranak maut apabila kenderaan yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan di Lebuh Raya DUKE kira-kira jam 12.45 pagi.
Kesemua mereka iaitu Fairuz Nizam Husain, 35, isterinya Nova Safitri Azhari, 27, dan bayi, Nur Firuza Annisa merupakan mangsa yang terbunuh dalam kejadian itu.
Fairuz yang memandu kenderaan Pajero maut di tempat kejadian manakala isteri dan anaknya meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur.
Nahas berlaku apabila kenderaan yang dinaiki mangsa dipercayai digesel dari sebelah kanan oleh sebuah kereta Myvi yang sedang berlumba dengan lima kereta yang lain.
Mengulas mengenai dakwaan laporan polis yang dibuat oleh salah seorang daripada pemandu kereta terbabit yang menyalahkan pemandu Pajero dalam insiden itu, Aziz berkata, semua itu akan diketahui selepas siasatan daripada dua agensi itu selesai.