Kad tambah nilai prabayar akan berharga RM10 untuk kredit panggilan bernilai RM10, kata Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berkata kadar cukai barang dan perkhidmatan (GST) sebanyak 6 peratus pada kad tersebut akan berdasarkan penggunaan dan hanya dikenakan apabila panggilan dibuat.
“GST yang dikenakan terhadap kad tambah nilai kini akan berdasarkan penggunaan. Kerajaan berpendapat bahawa adalah bijak untuk tidak mengutip cukai sebelum perkhidmatan digunakan.
“Untuk mengimbangi kesan pelaksanaan GST, kerajaan memberitahu pembekal telekomunikasi (Telco) untuk mengurangkan tarif perkhidmatan mereka. Pada masa yang sama, mereka turut diminta untuk menyediakan pakej mampu milik kepada kumpulan seperti pelajar.
“Kerajaan mahu syarikat telekomunikasi untuk melaksanakan dan mengikuti mekanisme ini dalam tempoh enam bulan,” kata Ahmad Shabery dalam sidang media di pejabat kementeriannya di Putrajaya.
Beliau berkata kerajaan akan memastikan pelaksanaan GST tidak akan memudaratkan rakyat.
Pada 1 Mei lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengarahkan Ahmad Shabery untuk menyelesaikan isu GST yang menyelubungi kad tambah nilai prabayar.
Kekeliruan ini timbul apabila Ketua Pengarah Jabatan Kastam, Datuk Seri Khazli Ahmad mengumumkan syarikat telekomunikasi diarahkan untuk mengembalikan kad tersebut kepada kadar pra-GST.
Beberapa jam kemudian, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memberitahu bahawa adalah ‘hampir mustahil’ untuk membuat perubahan segera kerana isu sistem konfigurasi semula.