UMNO Selangor dan Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) Selangor hari ini menyatakan sokongan padu terhadap kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor Datuk Seri Noh Omar yang menyifatkan pentadbiran Najib umpama mengemudi sebuah ‘kapal’, yakin perdana menteri mampu mengatasi masalah yang dihadapinya sekarang.
Beliau berkata dengan kapal itu sedang dilanda gelora, setiap anak kapalnya (anggota UMNO) perlu terus memberi sokongan padu demi kelangsungan pengemudian nakhoda sedia ada.
Noh berkata demikian dalam ucapan aluannya pada majlis ‘Sepetang bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak anjuran Mubarak Selangor dengan kerjasama Badan Perhubungan UMNO Selangor di sini, hari ini.
Menurutnya tiada pemimpin yang tidak pernah dilanda masalah, namun perkara itu menjadikan seseorang pemimpin itu lebih kuat dalam pentadbirannya.
Dalam pada itu, Noh berjanji merampas semula Selangor daripada Pakatan Rakyat DAP-PKR-PAS.
“Saya memberi jaminan, UMNO Selangor akan pastikan Barisan Nasional (BN) merampas kembali negeri ini pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 akan datang,” katanya.
Yang Dipertua Mubarak Selangor Tan Sri Abu Hassan Omar dalam ucapan aluannya pula menganggap Najib sebagai perdana menteri yang terbaik berbanding lima bekas perdana menteri sebelum ini berikutan kejayaan demi kejayaan yang dicapainya dalam tempoh enam tahun beliau mentadbir negara.
“Najib dah capai kejayaan demi kejayaan, antaranya mengekalkan kuasa BN di Putrajaya pada PRU ke-13, kejayaan Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang capai 100 peratus dalam laporan 2014.
“Selain itu, Najib juga sering menyemarakkan nama Malaysia dalam arena politik serantau dan antarabangsa, malah terus melaksanakan transformasi kerajaan serta UMNO,” katanya.
Beliau turut berikrar akan berganding bahu bersama-sama badan bukan kerajaan (NGO) serta parti komponen BN bagi menyusun strategi mengembalikan Selangor kepada parti itu.