Tindakan DAP menolak cadangan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang ingin menubuhkan kabinet bayangan memperjelaskan hakikat yang selama ini masih kabur dan tidak mahu diakui ramai.
Alasan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng ialah cadangan tersebut langsung tidak praktikal ekoran masalah mencapai kata persetujuan antara ketiga-tiga parti khususnya PAS.
“Selepas pengalaman kita dengan Datuk Seri Abdul Hadi bahawa beliau boleh veto, dia boleh tolak (keputusan) sama sekali, beliau boleh buat keputusan diri sendiri seperti kes hudud yang tiada perbincangan langsung dengan mana-mana pihak saya rasa cadangan (kabinet bayangan PR) adalah tidak praktikal.
“Oleh itu, cadangan tersebut saya rasa susah untuk dilaksanakan, sebab itu pihak kami rasa lebih baik kita ada satu kabinet bayangan untuk setiap parti dan setiap parti akan adakan perbincangan, jadi mekanisme ini telah berubah dan saya rasa benda ini juga akan dipersetujui oleh Ketua Pembangkang,” katanya di Lobi Parlimen, Selasa.
Sehubungan itu DAP bertindak sendiri membentangkan senarai kabinet bayangan membabitkan 18 portfolio yang diagihkan kepada semua ahli parlimen DAP kecuali membabitkan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng, Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang dan Ahli Parlimen Kepong, Dr Tan Seng Giaw.
“Keputusan ini diambil setelah perbincangan panjang lebar pada Ahad lalu bersama 37 ahli parlimen DAP dan inisiatif baru ini bagi maju ke depan untuk meningkatkan mutu dan kualiti perbahasan serta penggubalan dasar di dalam atau di luar Parlimen,” katanya lagi.
Untuk rekod, portfolio Kewangan dan Ekonomi diserahkan kepada Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua Kiam Wee dibantu oleh Ahli Parlimen Sibu, Osar Ling Chai Yew dan Ahli Parlimen Sandakan, Wong Tien Fatt.
Portfolio Kementerian Dalam Negeri dan Undang-undang akan diuruskan Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo dibantu Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ram Karpal Singh, Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham dan Ahli Parlimen Ipoh Timur, Thomas Su Keng Siong.
Sementara bagi Kementerian Luar Negara dan Pertahanan dipertanggungjawabkan kepada Ahli Parlimen Ipoh Barat, M. Kulasegaran dan dibantu Ahli Parlimen Stampin, Julian Tan Kok Ping dan Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuriraani Patto.
Yang pasti, tindakan DAP jelas membayangkan bahawa parti itu mampu memerintah dan mentadbir sendiri tanpa perlu bergandingan serta berharap kepada sekutunya, PKR dan PAS.
Ia juga sebenarnya satu keangkuhan di pihak DAP untuk menunjukkan kepada PKR dan PAS bahawa ‘siapa kepala dan abang besar’ dalam pakatan pembangkang.
Mana tidaknya, takkanlah Guan Eng dan DAP tidak sedar impak sebagaimana yang menimpa Wan Azizah apabila usul pertama beliau selaku Ketua Pembangkang terus ditolak mereka.
Yang pasti, tindakan DAP juga sebagai penanda aras sempadan yang mahu diperjelaskan DAP kepada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang diyakini akan mengekalkan jawatannya sewaktu muktamar Jun ini.
DAP memberi petunjuk jelas kepada Hadi bahawa DAP tidak memerlukan presiden parti yang sukar dikawal dan tidak mahu mengikuti arahan lantaran DAP sudah memiliki ejen dan pengikut di dalam kepimpinan PAS yang mampu mempengaruhi keputusan-keputusan parti itu di masa depan.
Tahniah DAP, bayangan masyarakat pelbagai kaum seperti yang didakwa parti chauvinis itu semakin jelas dipertontonkan.