Mahkamah Tinggi pada Rabu membenarkan permohonan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah untuk menyoal balas bekas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan sabitan lampau bagi membuktikan Anwar sebagai tidak bermoral, dalam perbicaraan kes saman terhadap Senator Datuk S. Nallakaruppan.
Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab membuat keputusan itu selepas menolak permohonan Anwar, 68, yang membantah soalan sedemikian dalam pemeriksaan balas.
Dalam penghakimannya, Mohd Zaki berkata soalan-soalan yang dikemukakan Muhammad Shafee adalah berkaitan dengan pliding (pernyataan bertulis) yang difailkan Anwar, dan Anwar perlu membuktikan bahawa beliau sebenarnya mempunyai karektor yang baik.
“Saya dapati soalan-soalan yang hendak dikemukakan oleh Muhammad Shafee adalah berbentuk keterangan mengenai karektor dan perkara mengenai karektor ini secara langsungnya berkait dengan pliding plaintif (Anwar).
“Untuk berjaya dalam tuntutan ini plaintif perlu membuktikan pliding tersebut iaitu plaintif sebenarnya mempunyai karektor yang baik. Defendan pula perlu menentang pembuktian pliding tersebut dengan membuktikan bahawa plaintif tidak mempunyai karektor yang baik,” katanya.
Tambahnya, dalam kes ini karektor plaintif bukan sahaja relevan dengan tuntutan ganti rugi tetapi juga satu fakta yang perlu dibuktikan melalui pemeriksaan balas.
Pada 15 Mei lalu, peguam Latheefa Koya membuat bantahan terhadap soalan Muhammad Shafee berhubung penghakiman bertulis dalam kes liwat I yang dibuat oleh bekas Ketua Hakim Tun Abdul Hamid Mohamad yang menyatakan bahawa Anwar mempunyai kecenderungan homoseksual.
Turut dibantah ialah soalan dalam sabitan kes liwat II terhadap pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 27, pada 26 Jun 2008 dan dihukum penjara selama lima tahun pada 10 Feb lalu.
Ketika prosiding, Latheefa memberitahu mahkamah bahawa pihaknya akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan tersebut dan mahkamah menetapkan 16 Jun untuk sebutan.
Pada 25 Ogos 2008, Anwar memfailkan saman berhubung kenyataan Nallakaruppan (bekas Pengarah Eksekutif Perhubungan Awam Magnum), yang didakwa berunsur fitnah dalam artikel bertajuk ‘Anwar terima RM60 juta’, yang disiarkan akhbar Mingguan Malaysia dan Sinar Harian.
Anwar, yang kini dipenjara di Sungai Buloh hadir di mahkamah dengan dikawal ketat oleh pegawai penjara.