Meneliti jawapan Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap kritikan Tun Dr Mahathir Mohamad terhadapnya, amat jelas kredibiliti mantan Perdana Menteri itu sudah terjejas apatah lagi dalam serangan terhadap Najib, Dr Mahathir membuat tuduhan tanpa usul periksa.
Walaupun Najib mengulangi bersedia menerima kritikan dengan hati terbuka, ia tidak bermakna beliau akan membenarkan sesiapa sahaja membuat dakwaan tidak berasas apatah lagi jika datang daripada mulut Dr Mahathir.
Apatah lagi jika banyak di antara kritikan mantan Perdana Menteri selama 22 tahun itu adalah tidak adil dan memesongkan.
Sebagai contoh penentangan Dr Mahathir terhadap pelaksanaan GST.
Sedangkan, semua pakar ekonomi yang berwibawa percaya tindakan meluaskan asas cukai adalah perkara yang betul untuk dilakukan.
Malah, pendapatan yang diperolehi akan digunakan untuk kebajikan rakyat adalah idea yang diilhamkan semasa pentadbiran beliau.
Lagipun, pada masa ini, hanya satu dalam 10 rakyat Malaysia membayar cukai pendapatan peribadi, dan ia adalah penting untuk kerajaan memperluaskan asas cukai untuk kebaikan jangka panjang ekonomi.
Bagaimanapun, dalam jawapan menerusi NajibRazak.com semalam, Najib menyentuh tindakan Dr Mahathir yang memanjangkan fitnah pembangkang ketika pilihan raya umum lalu kononnya Datuk Seri Rosmah Mansor memiliki cincin beharga RM24 juta.’
Nyata, Najib amat kesal apabila seseorang dengan kedudukan yang tinggi seperti Dr Mahathir telah memanjangkan fitnah kepada rakyat dengan memetik kenyataan palsu yang dijaja pembangkang.
Beliau juga mengulangi kata-kata pembangkang apabila membangkitkan mengenai penggantian jet kerajaan, dengan mendakwa bahawa Yang Di-Pertuan Agong tidak menggunakan jet tersebut dan menggelar Najib pembohong.
Sekali lagi dakwaan ini adalah palsu – Seri Paduka Baginda sebenarnya penumpang VIP pertama yang menggunakan pesawat yang baru diterima ini untuk lawatan ke Langkawi, dan baginda akan terus berbuat demikian.
Menurut Perdana Menteri, Dr Mahathir juga telah memperalatkan cabaran kewangan yang dihadapi oleh 1MDB sebagai sebab untuk menyerangnya.
Dr Mahathir mendakwa Najib bertanggungjawab ke atas kerugian sebanyak RM42 bilion dalam imbangan kira-kira 1MDB sedang ia adalah perbuatan sengaja memutar belitkan fakta kerana 1MDB tidak kerugian sebanyak itu.
Ini kerana nilai hutangnya; hutang yang jauh lebih rendah berbanding nilai aset syarikat sebanyak RM51 bilion, yang telah diaudit dan disahkan oleh Deloitte.
Sepatutnya, Dr Mahathir perlu menyiasat sama ada khabar angin dan dakwaan tersebut mempunyai bukti dan kebenaran sebelum bercakap mengenainya.
Beliau juga tahu bahawa banyak dakwaan yang dibuat mengenai perkara yang berlaku di bawah pentadbiran beliau.
Dan selalunya Dr Mahathir akan bertanya: “Di manakah buktinya?”.
Beliau sepatutnya menggunakan cara yang sama terhadap perkara yang beliau dengar.
Justeru itu kata Najib, soalan yang wajar ditanya – apakah motivasi Dr Mahathir memilih masa ini untuk meluahkan fitnah yang dihasilkan oleh pembangkang yang beliau gelar sebagai pembohong dahulu?
Mungkin boleh dipersoal juga kredibiliti Dr Mahathir apabila beliau membuat kenyataan Tan Sri Pandikar Amin Mulia sudah melepaskan jawatan Speaker Dewan Rakyat sedangkan Pandikar Amin masih bertugas hingga sekarang.
Lagipun, Dr Mahathir tidak sepatutnya bercakap soal itu yang merupakan maklumat peribadi antara Pandikar Amin dengan beliau.