Tun Dr Mahathir Mohamad tidak sepatutnya naik ke atas pentas #nothing2hide dan memberi ucapan mengkritik Perdana Menteri.
“Ni majlis PM, tiba-tiba jadi majlis Tun, bagi saya kurang manis, kalau majlis kahwin ramai-ramai datang jadi majlis perdebatan, ni ke nak tunjuk dekat anak-anak?
“Kalau nak betulkan, buat dengan cara betul, ini tidak, dan pada saya ini sangat malang, sebab kedua-dua pemimpin itu saya sanjung,” kata Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid yang di temui di Dewan Tun Hussein Onn, Jumaat.
Menurutnya, pentas tersebut disediakan untuk Datuk Seri Mohd Najib Razak bagi menjawab segala persoalan yang dikemukakan aktivis dan NGO.
Sehubungan itu beliau katanya, agak terkilan kerana tindakan Dr Mahathir itu hanya sekadar ingin melepaskan perasaannya di khalayak ramai dan bukan untuk menyelesaikan sebarang masalah melalui perbincangan.
“Kalau niat dia baik nak betulkan, tapi cara nak melaksanakan tu salah, ia akan jadi salah jugak,” jelasnya.
Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Anuar Musa pula kecewa dengan pihak pengurusan program, SukaGuam yang tegasnya harus lebih bersedia untuk mengawal tahap keselamatan dengan lebih ketat agar insiden sebegini dapat ditangani sebaik mungkin.
“Kerajaan sedia nak jawab tapi penganjur kena uruskanlah betul-betul, saya ni datang sebab nak dengar, saya nak tanya sendiri.
“Tapi bila dah jadi macam ni, memang pihak keselamatan ada hak untuk membatalkan program serta merta,” ujarnya.