1Malaysia Development Bhd (1MDB) dijangka mengambil langkah tambahan bagi mengurangkan paras keseluruhan hutangnya selepas membuat membuat bayaran balik pinjaman sebanyak US$975 juta.
Syarikat pelaburan strategik itu juga akan membuat pengumuman lanjut pada minggu-minggu akan datang yang turut menyaksikan lebih banyak pembayaran balik hutangnya.
Sehubungan itu, syarikat berkenaan dan Kementerian Kewangan sewajarnya diberi masa serta peluang untuk meneruskan usaha itu dalam usaha memastikan lebih banyak perkembangan berkaitan, dapat dicapai.
Pada Isnin, 1MDB telah membuat bayaran penuh pinjamannya berjumlah US$975 juta kepada satu sindiket bank-bank antarabangsa, seiring pelan rasionalisasi yang diluluskan oleh Kabinet.
Matlamat utama pelan itu adalah untuk mengurangkan paras keseluruhan hutangnya sebanyak RM42 bilion dalam akaun kewangan terakhirnya.
Bayaran balik itu dibuat kurang 10 hari selepas Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah membentangkan pelan itu kepada Kabinet pada 29 Mei lepas.
1MDB telah membuat bayaran penuh US$975 juta itu yang berbulan-bulan lebih awal daripada tarikh sepatutnya.
Berikutan itu, 1MDB telah mengurangkan hutang sebanyak RM3.6 bilion iaitu hampir lapan peratus daripada jumlah hutangnya.
Ini turut memaparkan komitmen serta kemampuan 1MDB dan Kementerian Kewangan menangani paras hutang syarikat berkenaan.