Jawatankuasa Pusat DAP menetapkan bahawa gabungan pembangkang tidak wujud lagi.
“Bagi DAP, sah sekarang Pakatan Rakyat sudah berkubur,” kata kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, Selasa.
Keputusan itu katanya dibuat Jawatankuasa Pusat DAP yang bermesyuarat pada Isnin malam yang mendapati beberapa tindakan kepimpinan PAS terutama Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendorong kepada keputusan itu.
“Memandangkan Pakatan Rakyat dibentuk oleh ketiga-tiga parti berdasarkan konsensus dan terikat dengan dasar bersama, usul di Muktamar PAS itu telah membunuh Pakatan Rakyat,” katanya.
Pakatan Rakyat ditubuhkan pada 1 April 2008 sebagai tindakbalas bersama DAP, PKR dan PAS dalam membentuk gabungan lebih bersepadu susulan tsunami pilihan raya umum pada 8 Mac 2008.
“Beberapa insiden sepanjang tahun lalu, termasuk krisis Menteri Besar Selangor, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mencabuli keputusan yang telah dicapai di peringkat Majlis Pimpinan mengakibatkan muafakat sedia ada hampir lumpuh,” katanya.
Hadi juga katanya, memungkiri janji peribadinya dalam mesyuarat Majlis Pimpinan pada 10 Februari lalu untuk membincangkan cadangan undang-undang hudud PAS sebelum dibentangkan di Dewan Undangan Negeri Kelantan atau dibawa ke Parlimen.
Menurutnya lagi, pengkhianatan Hadi berterusan apabila Muktamar PAS menerima usul memutuskan hubungan dengan DAP tanpa sebarang perbahasan 6 Jun lalu.
Sehubungan itu DAP katanya, akan memberi sokongan kepada Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali untuk merangka semula anggota kerajaan negeri itu dengan muafakat baru berdasarkan Dasar Bersama Pakatan rakyat serta manifesto Pakatan Rakyat Selangor 2013.
“DAP akan berusaha ke arah sebuah muafakat baru yang berprinsip dan lebih bagi mengisi kelompangan politik serta mampu menyalakan semula harapan rakyat ke arah perubahan bagi menjadikan Impian Malaysia sebuah realiti, serta masa depan yang lebih baik untuk semua,” katanya.