Kapal tangki MT Orkim Harmony yang dirampas lanun kini ‘ditukar nama’ sebagai Kim Harmon bagi mengelakkan kapal itu dikesan di perairan kemboja.
Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar memuat naik gambar kapal tangki yang ‘ditukar nama’ di Twitternya @ChiefofNavy pada petang Khamis.
Beliau berkata: “MT Orkim Harmony: Gambar terbaharu dengan nama baharu ‘Kim Harmon’.”
Menurut Abdul Aziz, kapal itu dibawah pengawasan dan gambar dirakamkan oleh helikopter milik TLDM, Super Lynx.
Beliau menambah, sekurang-kurangnya terdapat lapan lanun berada di kapal tangki itu ketika ini.
“MT Orkim Harmony: Sekurang-kurangnya lapan lanun berada di atas kapal. Mereka bersenjatakan pistol dan parang. Mereka bercakap loghat Indonesia,” kata Abdul Aziz di akaun Twitternya.
Terdahulu, Abdul Aziz menerusi kenyataannya di Twitter berkata, semua kru kapal tangki berkenaan berada dalam keadaan selamat dan suspek yang merampas kapal tersebut sedang dipujuk untuk menyerah diri.
Kapal MT Orkim Harmony yang membawa 6,000 tan metrik petrol bernilai RM21 juta dilaporkan hilang pada 8.57 malam pada Khamis minggu lepas ketika dalam perjalanan dari Melaka ke Pelabuhan Kuantan, Pahang.
Kapal yang dimiliki oleh Syarikat Magna Meridian Sdn Bhd itu membawa 22 anak kapal termasuk 16 rakyat Malaysia. Anak kapal lain terdiri daripada rakyat Indonesia dan Myanmar.