Umpama sudah bercerai tapi masih tinggal serumah.
Namun penganalisis politik melihat kenyataan Menteri Besar Selangor bahawa tidak ada asas untuk pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) susulan krisis dalam pakatan pembangkang, lebih bermotifkan survival politiknya.
Pada Khamis, Mohamed Azmin Ali meminta semua pihak supaya tidak mengheret istana Selangor dalam krisis politik Pakatan Rakyat berikutan terputusnya hubungan kerjasama antara DAP dan PAS.
Penganalisis politik Prof Madya Dr Zaid Ahmad berkata sekiranya Azmin mengambil keputusan untuk membubarkan DUN, ia seperti menjerut leher sendiri kerana kuasa yang ada padanya sekarang mungkin akan tergadai.
“Pasti Azmin sudah mempunyai perkiraan untuk mengekalkan kuasa PKR di Selangor dan pilihan raya bukanlah pilihan yang terbaik,” kata Dekan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia.
Berkongsi pandangan sama, penganalisis politik Md Shukri Shuib menyatakan penduduk negeri maju itu kini perlu lebih sedar berikutan pelbagai isu besar melibatkan kerajaan pakatan pembangkang itu.
“Dalam tempoh tidak sampai dua penggal berlaku pelbagai krisis dan timbul macam-macam isu sehingga menyusahkan rakyat.
“Ini harus menjadi pengajaran kepada rakyat bahawa jangan memilih kerajaan yang ‘fragile’, dari awal lagi dapat dilihat pakatan rakyat itu sendiri adalah satu gabungan yang rapuh dan sudah dijangka berakhir begini,” kata Pensyarah Kanan Hal Ehwal Politik dan Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia itu.
Pada Khamis bekas Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar mencadangkan agar DUN Selangor dibubar sekiranya Azmin tidak dapat membuat pilihan di antara PAS atau DAP sebagai rakan dalam pentadbirannya itu.
Pengerusi DAP Selangor Tony Pua pula tidak menolak kemungkinan DUN Selangor akan dibubarkan berikutan kemelut yang berlaku dalam pakatan pembangkang.