DIKEMASKINI
ALOR GAJAH: Tiga pekerja binaan warga Myanmar maut apabila satu daripada tingkat bangunan sebuah pusat beli-belah dalam binaan di Pulau Sebang di sini runtuh petang Isnin.
Ketua Polis Melaka Datuk Chuah Ghee Lye berkata kejadian pada pukul 2.15 petang itu turut mengakibatkan enam pekerja lain, juga warga Myanmar, cedera tiga daripadanya parah.
“Dalam kejadian itu pekerja dipercayai sedang membuka perancah simen di tingkat itu yang telah keras, bagaimanapun tingkat itu tiba-tiba runtuh.
“Kita sedang menyiasat punca sebenar kejadian itu dan juga akan memeriksa seluruh struktur bangunan itu bagi memastikan bangunan itu selamat,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian.
Turut hadir Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Melaka Nazili Mahmood.
Chuah berkata kerja menyelamat mangsa melibatkan 122 anggota termasuk daripada pihak polis; Jabatan Bomba dan Penyelamat; dan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART).
Mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Tampin, manakala mayat mangsa dibawa ke hospital sama untuk bedah siasat.
Sementara itu, seorang peniaga Mohd Daud Ali, 34, berkata ketika kejadian dia sedang tidur dan terdengar dentuman kuat sebelum bergegas ke belakang kedai kira-kira 2.20 petang.
Katanya, dia kemudian memasuki kawasan tapak pembinaan berkenaan dan melihat runtuhan konkrit menimbus beberapa pekerja kontrak di tingkat atas bangunan tersebut.
“Saya nampak tiga pasang di bawah runtuhan tersebut tetapi tidak berani membantu kerana berada dalam keadaan terkejut,” katanya.