Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Selasa menegaskan dakwaan korupsi mengaitkan beberapa individu dalam pembelian hartanah oleh Majlis Amanah Rakyat (Mara) di Melbourne, Australia, akan disiasat secara terperinci.
“Pihak berkuasa di sini akan menyiasat secara terperinci dakwaan tersebut, dan seandainya ada sebarang salah laku dan penyelewengan, tindakan akan diambil,” katanya dalam kenyataan menerusi laman sosial Facebook dan Twitter miliknya, Selasa.
Akhbar Australia, ‘The Age’ melaporkan seorang pegawai tinggi Mara, seorang pegawai kanan dan seorang bekas ahli politik didakwa membelanjakan berjuta-juta dana kerajaan untuk membeli satu blok apartmen di Melbourne dalam penipuan hartanah.
Akhbar itu mendakwa ‘sekumpulan pegawai Malaysia yang amat kaya’ terlebih bayar sebanyak A$4.75 juta (RM13.8 juta) bagi blok apartmen di bandar raya itu pada 2013.
Ketiga-tiga pegawai itu didakwa ‘membida lebih tinggi’ bagi bangunan itu dikenali ‘Dudley International House”, daripada A$17.8 juta kepada A$22.5 juta (RM65.3 juta), dengan wang perbezaan itu dijadikan sebagai rasuah di tanah air.
Dudley International House merupakan asrama pelajar, dibeli oleh Mara yang menyediakan biasiswa pelajar Malaysia melanjutkan pelajaran di luar negara.
Bangunan Dudley International House setinggi lima tingkat di subbandar East Caulfield menempatkan 115 pelajar Mara di Monash University.