Kerajaan tetap akan mengambil tindakan sekiranya terdapat mana-mana pihak yang cuba memutar belit fakta sama ada di media arus perdana mahupun di media siber.
Jelas Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, ia merujuk kepada kes data petrosaudi yang disunting serta diputarbelitkan faktanya bagi memburukkan imej syarikat pelaburan 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).
“Dua hari lepas, bekas eksekutif Petrosaudi ditahan di Thailand, kita ada bincang tentang perkara ini, antaranya dituduh kerana memalsukan dokumen dan memberi kesan menyeluruh kepada ekonomi negara.
“Ini bukan sahaja menyalahgunakan internet, malah boleh dikaitkan dengan usaha mensabotaj ekonomi negara, maka jika undang-undang yang dianggap sabotaj itu salah untuk dibuat, maka sudah tentu penggunaaan internet sebagai medium juga turut dikatakan sebagai suatu kesalahan,” katanya bagi menjawab soalan tambahan yang dikemukakan Senator Dr. Syed Husin Ali di Dewan Negara, Khamis.
Terdahulu, Syed Husin meminta Menteri Komunikasi dan Multimedia itu menyatakan apakah langkah umum kerajaan dalam menapis setiap penggunaan internet secara umum.
Mengulas lanjut berhubung kes tersebut, siasatan forensik mendapati sebahagian daripada e-mel dan dokumen tersebut telah ditokok tambah dari pangkalan Petrosaudi.
Set data yang dicuri itu tidak lengkap, malah sudah menjalani proses penyuntingan secara professional selepas dikeluarkan dari sistem Petrosaudi dengan niat jahat untuk menyerang dan merosakkan imej individu tertentu.
Dua laman media iaitu Sarawak Post dan The Edge kemudiannya memetik laporan tersebut selepas diviralkan oleh beberapa pihak yang tidak bertanggungawab.
“Sebab itu kita lihat akta yang diperkenalkan pada 1998, waktu itu media sosial tidak ada Facebook, Twitter, We chat dan banyak lagi, jadi akta tersebut perlu selaras dengan prinsip kebebasan dimana ia mesti dipertahankan, jika ia menyalahi undang-undang, maka tindakan boleh diambil termasuk mereka yang menggunakan media tersebut,” tambahnya.