Tiga janda antara 40 yang ditahan dalam ‘Ops Ramadan Pusat Hiburan’ oleh di sekitar bandar raya ini, awal pagi hari ini.
Operasi bersepadu diketuai Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) itu dibuat bagi memburu umat Islam yang mengunjungi pusat hiburan sepanjang bulan mulia ini.
Turut terbabit dalam operasi selama empat jam itu ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dengan menyasarkan empat pusat hiburan berikutan beroperasi melebihi masa ditetapkan pihak berkuasa tempatan.
Pengarah JAIM, Ismail Hamad, berkata operasi yang dimulakan seawal jam 1 pagi itu bertujuan mengekang umat Islam daripada cuba mencalarkan kesucian Ramadan dengan mengunjungi pusat hiburan.
“Daripada umat Islam yang ditahan hari ini, 25 adalah wanita manakala 15 lagi adalah lelaki yang berusia antara 25 tahun dan 63 tahun.
“Mereka yang ditahan akan didakwa di bawah Seksyen 71 Akta Kesalahan Syariah kerana berkelakuan tidak sopan, berpakaian tidak sesuai dengan hukum syarak dan berada di kelab yang penuh dengan arak, yang tidak sesuai sebagai seorang Islam,” katanya sejurus tamat operasi itu, awal pagi hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Pegawai Penguat Kuasa JAIM, Rahimin Bani dan Pegawai Penguat Kuasa MBMB, Mohd Irwan Samat.
Jika sabit kesalahan, mereka yang ditahan boleh didenda maksimum RM1,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya.
Ismail berkata, operasi bersepadu di kelab hiburan itu akan diteruskan sepanjang bulan Ramadan, sekali gus memastikan umat Islam memanfaatkan kesucian bulan mulia dengan memenuhkan aktiviti keagamaan di masjid.
“Kita turut memberikan tazkirah selama 15 minit kepada semua yang ditahan ini untuk memastikan mereka memanfaatkan sepenuhnya kesucian bulan Ramadan.
“Sepanjang Ramadan ini, sebanyak 1,236 program keagamaan diadakan di seluruh masjid di negeri ini. Justeru, tidak timbul istilah berasa sunyi,” katanya.