Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) mengesahkan gambar pesakit terlantar di wad unit rawatan rapi (ICU) hospital berkenaan yang menjadi viral sejak semalam adalah pesakit hospital berkenaan.
Ketua Jabatan Perhubungan Awamnya, Yahya A Hamid bagaimanapun menafikan pesakit berkenaan dijangkiti penyakit kencing tikus atau leptospirosis dari air tebu yang dibeli di bazar Ramadan seperti dalam catatan yang viral itu.
“Berdasarkan maklumat awal, pesakit lelaki berusia lingkungan 20-an itu dimasukkan ke PPUM beberapa hari lalu akibat jangkitan kuman.
“Bagaimanapun kami kesal apabila seorang rakan pesakit telah memuat naik gambar berkenaan ke dalam Facebooknya (FB) dan mengaitkannya dengan penyakit kencing tikus sedangkan punca penyakit belum diketahui.
“Kami telah bertemu dengan ibu pesakit tadi dan dia memberitahu rakan anaknya itu telah menarik balik gambar dan catatan yang dimuat naik sebelum itu,” katanya.
Susulan penarikan balik catatan di FB berkenaan, beliau meminta masyarakat supaya menghentikan penyebaran viral berkenaan melalui aplikasi media sosial lain seperti Whatsapp dan sebagainya.