Bukit Beruntung: Pemandu dan tiga penumpang cedera manakala empat selamat apabila bas yang dinaiki terbalik dalam kemalangan di Kilometer 431.5 Lebuhraya PLUS arah selatan di Jambatan Sungai Guntung, di sini, malam tadi.
Kejadian berlaku kira-kira 8.15 malam ketika bas yang membawa tujuh penumpang dalam perjalanan dari Lumut, Perak ke Kuala Lumpur.
Penumpang bas, Nor Hafizah Shukri, 27, berkata, dia menyedari bas dipandu laju dan terus terbabas dan terbalik sebelum langgar batu penghadang di atas jambatan berkenaan.
“Saya duduk di belakang dan tak perasan bas langgar apa sebelum terbabas tapi tiba-tiba terbalik dan penumpang terjatuh,” katanya ketika ditemui di lokasi kemalangan, malam tadi.
Bagaimanapun, Nor Hafizah hanya mengalami kecederaan ringan di mata kanannya.
Pegawai Bomba Kanan Dua Kuala Kubu Baharu Razi Hassan berkata dalam kejadian kira-kira 8.35 malam itu, bas ekspres itu dipercayai dalam perjalanan menuju ke Rawang, sebelum terbabas dan terbalik.
Beliau berkata sembilan anggota Bomba dan Penyelamat dari Kuala Kubu Baharu dikejarkan ke lokasi kejadian dan kesemua penumpang kini berada dalam keadaan stabil.
Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut.