Seorang penganggur yang dikaitkan dengan kekecohan di Plaza Low Yat, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencuri sebuah telefon bimbit jenama Lenovo bernilai RM800, tiga hari lalu.
Shahrul Anuar Abdul Aziz, 22, didakwa mencuri telefon bimbit milik Techasia Boutique di premis tersebut di Lot UG, K021, Tingkat UG, Plaza Low Yat, Bukit Bintang di sini pada pukul 4.47 petang, 11 Julai lalu.
Pertuduhan terhadap lelaki yang hadir dengan memakai pakaian serba hitam itu dibuat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Majistret Nur’Aminahtul Mardiah Md. Nor membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan 14 Ogos ini untuk sebutan semula kes.