Syarikat elektronik Korea, Samsung dikhabarkan merancang untuk melancarkan phablet baharunya, Galaxy Note 5 pada pertengahan Ogos ini, lebih awal berbanding kebiasaannya pada musim luruh.
Menurut laporan portal Mashable, pelancaran lebih awal itu akan memberi kelebihan kepada Samsung sebelum pesaingnya, Apple melancarkan produk baharu dikenali sebagai iPhone 6S dan 6S Plus.
Tahun lalu, Samsung melancarkan Galaxy Note 4 dan Note Edge, hampir sama dengan tarikh pelancaran iPhone 6 dan 6 Plus menyebabkan syarikat itu kehilangan berjuta-juta potensi jualan.
Walaupun mempunyai telefon pintar terbaiknya iaitu Galaxy S6, namun keuntungan syarikat berkenaan telah jatuh bagi tujuh suku berturut-turut.
Kebiasaannya, Samsung akan mengumumkan pelancaran Galaxy Note baharu pada pameran perdagangan peralatan dan elektronik pengguna IFA 2015 di Berlin, Jerman pada September ini.
Galaxy Note 5 dikhabarkan mempunyai paparan AMOLED 5.7 inci dengan revolusi 2,560 x 1,440 (QuadHD) dan pemprosesan 64-bit octa-core Exynos.
Sama seperti Galaxy S6 yang mempunyai rekaan semula kaca dan aluminium, Note 5 dilaporkan mempunyai ciri-ciri kaca pada bahagian belakang dan ditampilkan dalam warna hitam, perak dan putih.
Sementara itu, portal SamMobile melaporkan bahawa telefon berkenaan akan beroperasi dengan RAM 4GB.