Umat Islam di Malaysia, yang dijangka menyambut 1 Syawal, Jumaat ini, hendaklah meraikannya dengan rasa gembira dan bersyukur di atas kejayaan menjalani ibadah puasa dan mengawal hawa nafsu, demikian menurut seorang ahli akademik.
Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Al-Quran dan Al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Fadlan Mohd Othman berkata suasana ceria dan gembira wajar diwujudkan kerana ia menepati semangat Aidilfitri.
Katanya seperti yang tercatat dalam hadis sahih, Rasulullah S.A.W menyambut 1 Syawal dengan rasa gembira dan berpakaian cantik.
“Jadi, seharusnya kita mewujudkan suasana yang ceria dan gembira untuk diri, keluarga dan juga masyarakat. Di negara Arab, orang di sana bertakbir dengan penuh semangat tanda kemenangan dan kesyukuran tetapi di Malaysia kita bertakbir dalam nada yang sayu yang menjurus ke arah kesedihan,” katanya.
Fadlan yang juga Yang Dipertua Himpunan Ulama Muda Malaysia (iLMU) berkata pendapat yang mengatakan takbir perlu sayu semata-mata ‘menangisi’ pemergian Ramadan perlu disertakan dengan dalil dan hujah yang konkrit.
“Kalau kita bersedih, sudah tentu kita tidak akan pakai pakaian yang cantik. Malah Rasulullah sendiri memakai pakaian yang cantik dan bergembira. Hari Raya adalah hari yang dikhususkan kepada kita untuk bergembira, bukan untuk bersedih,” katanya.
Beliau berkata selain melaungkan takbir dan tahmid, memakai pakaian cantik, ucapan juga perlulah ucapan yang menjurus mendoakan kejayaan dan bukan kesedihan.
“Ucapkanlah TaqabbalAllah Minna Wa Minka yang bermaksud semoga Allah menerima amalan kami dan kamu. Kemudian disusuli dengan ucapan selamat hari raya dan sebagainya,” katanya.
Fadlan menjelaskan bahawa hari raya juga bukanlah hari untuk umat Islam menggandakan hutang demi meraikan Syawal.
“Jika pakaian kita masih cantik, maka tidak perlu dibeli yang baru kecuali pakaian kita semua dah lusuh dan compang-camping, barulah kita beli yang baharu.
“Begitu juga dengan rumah terbuka…adakan jika kita berkemampuan. Jangan terlalu mengikut emosi dan berlawan dengan jiran tetangga dan elakkan berhutang jika tiada keperluan mendesak,” katanya.