Desakan segelintir pihak tertentu yang mahu Datuk Seri Najib Tun Razak meletak jawatan sebagai Perdana Menteri hanya akan menyebabkan negara mundur, kata bekas Presiden MIC Datuk Seri S.Samy Vellu.
Samy Vellu yang merupakan Duta Khas Infrastruktur Malaysia ke India dan Asia Selatan, berkata pihak berkenaan sepatutnya memberitahu kepada Perdana Menteri supaya memfailkan kes berhubung dakwaan berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
“Perdana Menteri (patut) melawannya (di mahkamah) dan (bila) anda (Najib) menang, itulah kes. Saya yakin (perdana menteri) akan menang,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Aidilfitri Perdana Menteri dan Ahli Jemaah Menteri di Seri Perdana di sini Jumaat.
Baru-baru ini bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan mendesak Najib untuk meletakkan jawatan demi menyelamatkan negara dan Umno.
Mengulas mengenai MIC, Samy Vellu berkata pemangku presiden parti Datuk Seri Dr S.Subramaniam merupakah tokoh yang betul untuk membina semula dan memperkukuhkan parti.
“Di bawah kepimpinannya akan ada kekuatan baharu dan tenaga untuk membina semula parti,” katanya.
Menurut beliau, Dr Subramaniam seorang pemimpin yang bagus dan hampir tiga perempat anggota parti menyokongnya.
“Semua ini, manakala bekas pucuk pimpinan … saya tidak mahu cakap mengenai beliau,” katanya yang merujuk kepada Datuk Seri G.Palanivel.
Samy Vellu yang secara terbuka menyatakan sokongan kepada Dr Subramaniam, berkata beliau kecewa dengan Palanivel dan pasukannya yang didakwanya tidak membangkitkan apa-apa tentang komuniti itu dan tidak tahu apa yang berlaku di sekeliling mereka.
Palanivel, Datuk S. Sothinathan dan Datuk S. Balakrishnan, serta A.
Prakash Rao akan mencabar Pendaftar Pertubuhan (RoS) di Mahkamah Persekutuan, memohon untuk membatalkan arahan RoS supaya parti itu mengadakan pemilihan semula.
Pada Isnin, panel tiga anggota Mahkamah Rayuan, dipengerusikan Hakim Datuk Aziah Ali, memutuskan bahawa RoS tidak bertindak melampaui atau melebihi bidang kuasanya apabila mengeluarkan arahan bagi MIC mengadakan pemilihan semula.
Dr Subramaniam telah mengumumkan dirinya pemangku presiden, mendakwa Palanivel tidak lagi anggota MIC kerana beliau membawa pertikaian dalaman parti ke mahkamah yang bercanggah dengan perlembagaan parti dan kesalahan itu menyebabkan beliau bukan lagi anggota parti.