TANJONG KARANG: Operasi mencari dan menyelamat dua lagi mangsa yang hilang dalam kejadian bot karam kira-kira dua batu nautika dari pantai Bagan Sungai Kajang, di sini, semalam, dihentikan kira-kira jam 7.30 malam tadi.
Penolong Pengarah Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul, berkata operasi dengan bantuan nelayan kawasan sekitar akan diteruskan pagi esok berikutan keadaan gelap dan air pasang yang menyukarkan usaha mencari.
Bot dinaiki 14 orang yang terdiri daripada sembilan anggota keluarga dan lima pekerja bot berlepas dari jeti nelayan Sungai Kajang pada jam 3 petang, semalam bagi melakukan upacara membuang abu mayat.
Dua jam kemudian, ia dilaporkan karam ketika dalam perjalanan pulang.
Lima mayat telah ditemui setakat ini, manakala tujuh lagi berjaya diselamatkan nelayan tempatan.