BANGKOK – Bekas pegawai PetroSaudi International Ltd.(PetroSaudi), Xavier Andre Justo, telah mengakui bertemu dengan beberapa individu di Singapura bagi merunding untuk menyerahkan dokumen-dokumen syarikat itu yang berada dalam simpanannya, menurut polis Thailand hari Khamis.
“Dia menemui beberapa orang amat penting dari beberapa negara di Singapura. Dia berunding mengenai bayaran untuk menyerahkan kesemua salinan dokumen dalam bentuk fail elektronik,” kata jurucakap Polis Diraja Thailand, Pol.Lt.Gen Prawuth Thavornsiri kepada pemberita di sini, Khamis.
Beliau berkata polis Thailand mengetahui identiti individu yang ditemui oleh Justo berdasarkan pengakuannya serta bukti yang dikumpul dan butiran daripada sumber seperti telefon bimbit dan komputer peribadi milik lelaki itu.
Justo, 49, ditahan oleh Jabatan Pembanterasan Jenayah (CSD), Polis Thailand di pulau perangianan terkenal, Koh Samui, pada 22 Jun lepas, selepas PetroSaudi membuat laporan rasmi terhadap kegiataan peras ugut oleh lelaki warga Switzerland itu.
Bagaimanapun, Prawuth enggan mendedahkan individu yang ditemui oleh Justo.
Apabila ditanya sama ada Justo menemui pengasas dan editor portal berita Sarawak Report, Claire Rewcastle Brown, beliau menjawab: “Ada juga seseorang yang dihantar dari Eropah.”
Media Malaysia sebelum ini melaporkan bahawa Justo telah mengadakan pertemuan sulit dengan beberapa pemimpin pembangkang Malaysia dan seorang pemilik kumpulan media di Singapura sebelum dia ditahan oleh polis Thailand.
Bagaimanapum, Prawuth berkata Justo menafikan mengubahsuai atau mengubah dokumen-dokumen asal.
“Dia (Justo) tidak mengubah. Dia memberi dokumen-dokumen asal dalam bentuk fail elektronik,” katanya ketika ditanya sama ada Justo mengakui telah mengubahsuai dokumen-dokumen itu.
Katanya kes Justo sudah hampir siap dan mereka tidak akan mengambil masa lebih daripada sebulan lagi kerana lelaki itu sudah mengakui telah memeras ugut PertroSaudi.
Menurutnya, polis Thailand telah mengumpul bukti dokumen lain seperti e-mel dan laporan-laporan daripada pihak imigresen dan hotel. Polis Thailand tidak mempunyai rancangan untuk menemu bual saksi-saksi lain kerana sudah mempunyai bukti yang cukup pada masa ini, katanya.
Bagaimanapun, Prawuth tidak pasti bila Justo akan didakwa di mahkamah tetapi ia perlu dilakukan dalam tempoh 84 hari dari tarikh tangkapan pada 22 Jun lepas.
Katanya Justo tidak akan diekstradisi kerana kesalahan itu dilakukan di Thailand.