Seorang pereka perisian dari Rusia memperkenalkan aplikasi terbaharu sembang sosial bagi golongan suami yang ingin menambah pasangan hidup, baru-baru ini.
Menurut portal Mail Online, aplikasi yang diperkenalkan menggunakan kata nama di laman sosial Facebook itu dikenali sebagai ‘My Diaspora’.
Pereka perisian tersebut, Arsen Kazibekov berkata, perkhidmatan itu diwujudkan selepas menerima banyak permintaan daripada orang ramai.
Aplikasi tersebut membolehkan pasangan yang menyertai aplikasi tersebut bertukar-tukar pesanan sehingga tiga kali sehari.
Sementara itu, wanita yang memuat naik aplikasi tersebut turut akan ditanya sama ada bersedia untuk menjadi isteri kedua atau tidak.
Mereka turut ditanya sama ada bersedia untuk berpindah ke negara lain atau menukar agama sebelum diminta memberikan maklumat peribadi termasuk bilangan adik beradik dan juga pekerjaan.
Pereka perisian tersebut, turut menyediakan aplikasi tambahan untuk ‘menjemput’ ahli keluarga daripada pihak wanita menyertai perbualan sepanjang menyertai aplikasi tersebut, sekali gus bersesuaian dengan tradisi Islam yang menghendaki wakil keluarga wanita menyertai perbincangan sepanjang pasangan itu berkomunikasi.
Sementara itu, seorang lelaki Islam yang menyertai perkhidmatan kontroversi itu di sini berkata, dia mendaftar aplikasi itu kerana mahu mencari isteri kedua.
“Saya telah memberitahu perkara ini kepada isteri saya dan kami akan melihat apa yang akan berlaku selepas ini dan berharap akan menemui wanita yang sudi menjadi isteri kedua saya,” ujarnya kepada laman sosial tempatan.
Seorang wanita, Amina, 30, yang masih bujang pula berkata, dia menyertai aplikasi itu kerana mahu memiliki keluarga sendiri.
“Walaupun sudah berusia 30 tahun, tetapi saya belum memiliki anak sendiri, menyebabkan saya merasakan tiada masalah untuk menjadi isteri kedua,” ujarnya.