Larangan meninggalkan negara yang dikenakan terhadap dua pemimpin pembangkang, termasuk wakil rakyat DAP adalah tindakan terdesak dan bermotifkan politik, kata Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
Menurut beliau, kerajaan bertindak ‘membuli’ pembangkang apabila mengambil tindakan segera terhadap pihak yang membuat pendedahan berhubung dakwaan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“PAS ingin mengingatkan kerajaan bahawa taktik membuli pembangkang dengan cara ini hanya akan menyemarakkan desakan dan keinginan rakyat untuk mengetahui kebenaran di sebalik semua dakwaan terhadap 1MDB dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
“Rakyat akan melihat tindakan sebegini sebagai terdesak dan bermotifkan politik apabila tiada sekatan terhadap Dr Mahathir, pengkritik terhebat 1MDB, yang sudah terang-terang menjelaskan niatnya untuk menurunkan Najib sebagai Perdana Menteri,” katanya merujuk kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menerusi kenyataan pada Khamis.
Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim turut mempersoalkan kredibiliti Jabatan Imigresen apabila tidak mengenakan sebarang sekatan terhadap individu yang terlibat dan dikaitkan dengan isu 1MDB.
“Persepsi buruk pada kerajaan akan bertambah apabila rakyat melihat mereka yang terlibat dengan isu 1MDB seperti Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif dan Penasihat 1MDB masih bebas bergerak ke seluruh dunia, manakala mereka yang membongkarnya dikenakan tindakan,” katanya.
Sehingga kini empat individu disekat daripada ke luar negara termasuk Ahli Parlimen DAP, Tony Pua dan Ahli Parlimen PKR, Mohd Rafizi Ramli.
Terbaharu, seorang bekas pegawai 1MDB turut dihalang meninggalkan negara ini.
Semakan di laman web Jabatan Imigresen menunjukkan bahawa Pengarah Urusan SRC International Sdn Bhd, Nik Faisal Ariff Kamil, 44 yang juga merupakan bekas Ketua Pegawai Pelaburan 1MDB merupakan antara mereka yang disekat ke luar negara.
SRC International merupakan bekas anak syarikat 1MDB dan telah diambil alih oleh Kementerian Kewangan pada 2012.
Individu lain yang dihalang ke luar negara adalah pemilik The Edge Media Group, Datuk Tong Kooi Ong.