Ketua Polis Negara (KPN) dilapor berada di Thailand hari ini untuk bertemu rakan sejawatannya di Bangkok dipercayai berhubung siasatan kes bekas eksekutif PetroSaudi International Ltd, Xavier Andre Justo.
Menurut laporan The Star Online yang memetik kata sumber, KPN Tan Sri Khalid Abu Bakar dikatakan telah bertemu Pesuruhjaya Polis Diraja Thailand Somyot Pumpunmuang bagi mendapatkan bantuan untuk menemu bual Justo.
“Dia baru saja keluar dari balai polis tetapi belum bertemu Justo,” kata sumber itu sepertimana dipetik portal tersebut.
Bukit Aman, walau bagaimanapun, belum mengeluarkan kenyataan berhubung kehadiran KPN di Thailand.
Khalid sebelum ini berkata beliau akan mengetuai satu pasukan ke Thailand untuk menyoal siasat warga Switzerland itu jika mendapat kebenaran daripada pihak Thailand.
Justo ditahan di Koh Samui pada Jun atas dakwaan mencuri maklumat daripada bekas majikannya PetroSaudi dan dilapor meminta bayaran 2.5 juta Swiss francs (RM9.9 juta) untuk tidak mendedahkannya.
Justo dijangka didakwa atas pertuduhan memeras ugut bekas majikannya dan hanya boleh diekstradisi setelah menjalani hukumannya di Thailand jika didapati bersalah.
Menurut laporan The Malay Mail Online, Justo dikehendaki menjalani dua pertiga hukuman penjara jika mahkamah Thailand mendapati dia bersalah kerana memeras ugut.
Justo bakal menerima hukuman lima tahun penjara atau denda tidak kurang daripada TBH90 juta (RM9.8 juta), atau kedua-duanya jika didapati bersalah atas pertuduhan tersebut, lapor portal itu lagi.