Lima individu ditahan berhubung kes dua lelaki yang disyaki mencuri lembu dibelasah, dipaksa makan najis lembu dan kereta mereka dibakar di Felda Jengka 17, Maran pada Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Mat Rizal Mat Razi berkata, mereka ditahan di Jengka 15 dan Jengka 17, hari ini.
Beliau berkata, seorang daripada dua mangsa yang dipukul itu telah dibenarkan pulang dari Hospital Bandar Jengka manakala seorang lagi dipindahkan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh bagi menjalankan pembedahan tangan.
Namun setakat ini belum terdapat laporan polis dibuat oleh pihak yang lembu mereka dikatakan dicuri, katanya.
Keadaan mangsa yang dibelasah dan dipaksa makan najis tersebar luas di laman sosial dan mendapat reaksi pelbagai.
Mat Rizal tidak menafikan kejadian mencuri lembu kerap berlaku di kawasan tersebut namun jarang dilaporkan.
“Lembu-lembu di kawasan ini biasanya dibiarkan bebas berkeliaran di ladang kelapa sawit. Pemilik hanya mengenali lembu mereka berdasarkan rupa bentuk haiwan tersebut misalnya berdasarkan bentuk fizikal dan warna kulit,” katanya.