Jangkaan meleset daripada banyak pihak khususnya pembangkang mengenai wang yang dimasukkan ke dalam akaun Datuk Seri Najib Tun Razak bukan dari 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) menimbulkan kemarahan pelbagai pihak.
Sehubungan itu, jelas Pengerusi FELDA, Tan Sri Mohamad Isa Abdul Samad, tidak mustahil pembangkang terus mencari helah mencipta idea baru supaya isu tersebut tidak tenggelam dengan menimbulkan lagi beberapa provokasi untuk terus menekan Perdana Menteri.
“Ramai yang memikirkan termasuk media baru seolah-olah wang peribadi yang dimasukkan ke akan Datuk Seri Najib itu adalah wang 1MDB.
“Jadi bila mereka fikirkan begitu, sedapla mereka (pembangkang) nak melanyak Perdana Menteri guna isu tersebut, jadi bila jangkaan mereka tak betul, sebab itu mereka marah dan melatah tanya ke benda-benda lain pula,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab dakwaan dan tohmahan yang terus dilemparkan kepada Najib meskipun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengeluarkan keputusan berhubung perkara tersebut.
Padanya, ia adalah suatu perkara normal bagi mana-mana pihak memberikan sumbangan kepada melalui Perdana Menteri supaya parti kekal terus beroperasi sehingga hari ini.
“Orang macam saya memang tahu, orang pernah jadi Menteri Besar, Pengerusi, jadi kita tahu, takkan orang macam Perdana Menteri tidak reti mengasingkan sumbangan dana politik? Takkan dia nak ambil?
“Cuma siasatan SPRM itu tidak memenuhi hasrat pihak mereka yang menentang, jadi mereka kecewa, timbul pula isu yang lain,” katanya lagi.
Dalam sidang media yang sama, Isa turut menyambut baik gesaan Perdana Menteri supaya pembangkang turut mengisytihar sumber dana yang diperolehi.
“Kalau mereka nak kita isytihar, kita sama-sama isytihar, kalau kita tengok pembangkang, poster mereka cantik-cantik, warna warni lagi takkan duit turun dari langit, takkan pula dari ayah pin?” soalnya.
Jadi jelasnya sudah pasti ada pihak tertentu yang menyumbangkan duit kepada semua parti pembangkang bagi mereka meneruskan aktiviti politik mereka.
Sehubungan itu adalah tidak wajar pembangkang mempersoalkan dana yang diterima Najib untuk kegunaan UMNO dan BN.