Kritikan bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohammad terhadap pentadbiran Najib Razak hanyalah mainan politik dan tidak memikirkan masa depan Malaysia, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Salleh Said Keruak.
Katanya, Mahathir sudah tidak mempunyai idea dan matlamatnya hanyalah satu iaitu menjatuhkan pemimpin kita (Najib Razak).
“Mahathir hanya cakap kosong. Dahulu dia (Mahathir) kata RM42 billion hilang dalam 1MDB. Namun sekarang terbukti tidak hilang.”
“Sekarang Mahathir juga kata wang RM2.6 billion dimasukkan ke dalam akaun Najib. Sekarang sudah terbukti tidak sedemikian. SPRM telah membuat penyiasatan dan menyatakan bahawa itu adalah derma dan tiada unsur rasuah.”
“Hari ini Mahathir mengatakan bahawa beliau bersetuju dengan protes jalanan, sedangkan beberapa bulan lepas, beliau telah menulis dalam blognya bahawa perkara tersebut tidak dibenarkan”, katanya ketika sambutan Aidilfitri Anjuran Jasa di PWTC semalam.
Salleh berkata, Malaysia merupakan sebuah kerajaan yang dipilih oleh rakyat.
“Pemimpin kita Najib Razak juga dipilih oleh rakyat. Kalau ada pihak yang tidak berpuas hati, sudah tentu mereka boleh bersaing dalam PRU yang akan datang. Itulah demokrasi.”
Jelasnya lagi, masalah yang berlaku pada waktu ini adalah disebabkan oleh sesetengah pihak yang berpolitik selama 24 jam sehari.
“Politik ini macam bola sepak. Sekarang off season, kalau ada on season kita akan bertarung. Kita tidak ada masalah.”
“Sekarang ini kita fokuskan untuk menentukan ekonomi negara bertambah baik. Kita banyak permasalah yang bukan berpunca daripada pemimpin tetapi daripada penuruhan harga minyak dan akhirnya memberi kesan kepada ringgit. Ini juga berlaku kepada negara lain. Perkara seperti ini yang harus diberi perhatian,” tambah beliau.
Tegasnya, mereka ini tidak berbuat demikian kerana tujuan mereka hanyalah untuk menjatuhkan pemimpin sedangkan Umno ini adalah tunjang kepada pemerintahan negara dan membela bangsa bumiputera Malaysia.
“Jika kita tidak boleh bertahan nama negara Malaysia ini akan hancur,” tegas Salleh.
Mengulas lanjut berkenaan derma RM2.6 billion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib, Salleh berkata, ini merupakan perkara biasa dan mengikut undang-undang yang mana tidak mengahalang parti mempunayi dana untuk tujuan politik.
“Parti telah memberi mandat kepada presiden parti untuk menentukan agar mencari dana bagi menguatkan parti.”
“Yang salah adalah rasuah dan salah guna kuasa. Apa yang berlaku sekarang adalah telus. Najib Razak menggunakan namanya sendiri dalam hal ini,” tambah beliau lagi. (Agenda Daily)