Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali digesa membuat kenyataan terbuka untuk membenarkan mana-mana pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat sebarang keraguan mengenai penubuhan syarikat Darul Ehsan Investment Group (DEIG).
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, tindakan itu bagi membuktikan beliau sentiasa menjunjung ketelusan seperti yang selalu dicanangkan sebelum ini.
“Terlalu banyak persoalan yang perlu dijawab khususnya mengenai penubuhan DEIG yang seolah-olah cuba disembunyikan daripada pengetahuan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor sendiri selain bagaimana syarikat bernilai RM2 akan menguruskan kira-kira RM30 bilion aset di bawah Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor.
“Jika dalam 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pihak berkuasa dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bebas menyiasat selain pembentangan mengenainya dibuat di Kabinet bagi membuktikan segalanya telus, mengapa tidak kebenaran diberi supaya siasatan dilakukan dalam isu DEIG?” soalnya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Merbok di sini semalam.
Hadir sama Ketua UMNO bahagian, Datuk Tajul Urus Mat Zain dan Timbalannya, Prof. Dr. Ismail Daut serta Ketua Pemuda UMNO negeri, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin.
Puad yang juga Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) dalam pada itu turut mempersoalkan di mana suara dari media serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pro pembangkang yang selama ini dilihat begitu agresif mahu bercakap mengenai 1MDB.
“Ini membuktikan mereka bertindak bukan kerana ingin mendapatkan kebenaran sebaliknya demi untuk menjatuhkan seseorang. Isu DEIG tidak boleh menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, maka tidak banyak yang bercakap,” ujarnya.
Sementara itu di SHAH ALAM, Ketua UMNO bahagian itu, Datuk Azhari Shaari berkata, tindakan kerajaan negeri yang melaksanakan pemusatan aktiviti pelaburan melibatkan aset anak-anak syarikat di bawah MBI menerusi penubuhan DEIG berkemungkinan besar menyebabkan harga hartanah meningkat.
Ini kerana, katanya, berdasarkan maklumat menerusi laman web syarikat itu deig.com.my, DEIG antara lain terlibat dalam aktiviti pelaburan hartanah melibatkan merancang, membangun serta memasarkan hartanah bagi menjana dana dan meningkatkan nilai kewangan kerajaan negeri.
Malah, pelaburan sektor itu katanya, melibatkan pembangunan perumahan, bandar baharu dan projek-projek komersial di lokasi berpotensi tinggi dan strategik di seluruh Selangor menerusi model perniagaan berasaskan perkongsian dengan pihak berkepentingan yang mampu menjana pulangan nilai antara 15 dan 20 peratus Nilai Pelaburan Kasar.
“Berdasarkan maklumat berkenaan, kita tidak menolak usaha kerajaan negeri untuk menjana hasil pendapatan yang tinggi. Namun, kita khuatir kewujudan DEIG yang menjalankan model perniagaan tersebut akan memberi kesan kepada rakyat berpendapatan rendah dan pertengahan khususnya golongan muda.
“Ini kerana, nilai pasaran hartanah di Selangor khususnya dalam perumahan ketika ini dilihat sudah cukup tinggi yang mana ada di antaranya di luar kemampuan rakyat. Jika penubuhan DEIG berasaskan kepentingan negeri dan rakyat, mengapa aktiviti pelaburan yang dirancang syarikat itu tidak khusus kepada projek perumahan mampu milik,” soalnya selepas Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Shah Alam hari ini.
– See more at: http://www.utusan.com.my/berita/politik/azmin-perlu-buat-kenyataan-benarkan-siasatan-dibuat-1.127884#sthash.VD15aONr.dpuf