PENDANG: Seorang lelaki rentung selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) Proton Exora yang dipandunya terbabas sebelum terbakar di Kilometer 68.2 Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Plaza Tol Pendang.
Dalam kejadian jam 5 petang, mangsa yang belum dikenal pasti identitinya dikatakan memandu seorang diri dari arah Sungai Petani menghala ke Alor Setar.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja, Penolong Penguasa Bomba, Mohd Jamalluddin Mat Yusop, berkata pihaknya menerima panggilan jam 5.12 petang berhubung kebakaran membabitkan kenderaan terbabit.
Beliau berkata, seramai tujuh anggota bersama sebuah jentera dan sebuah Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) tiba di lokasi jam 5.29 petang.
“Sebaik tiba di lokasi, kami dapati api sedang marak dan cuba memadam kebakaran sebelum menemui mayat seorang mangsa yang sudah rentung.
“Usaha mengeluarkan mayat itu dilakukan dan diserahkan kepada pihak polis untuk dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk tindakan lanjut,” katanya.
Mohd Jamalluddin berkata, operasi tamat pada jam 7 petang dan kenderaan itu musnah 100 peratus.