MUKAH: Sebuah pesawat Maswings dari Miri ke Mukah terbabas dari landasan ketika mendarat pada kira-kira pukul 2.10 petang Rabu.
Bagaimanapun enurut laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat, kesemua 10 orang yang menaiki pesawat MH3552 itu termasuk dua anak kapal terselamat.
Pesawat itu dikatakan terbabas dari landasan akibat cuaca buruk.
Jabatan Bomba dan Penyelamat menerima panggilan berhubung insiden pada pukul 2.11 petang.
Setibanya anggota penyelamat di tempat kejadian, pesawat jenis DHC-6 Series 400 dengan kapasiti 19 penumpang berada di atas kawasan rumput di sebelah kiri landasan.
Maswings ketika ini masih belum mengulas mengenai perkara tersebut.
Anak syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) itu pada masa ini mengadakan kira-kira 900 penerbangan seminggu ke pelbagai destinasi di Borneo.