Moody’s Investors Service menyifatkan prospek penarafan Malaysia kekal positif sebagaimana yang pernah dinyatakannya pada Januari lepas berikutan aliran pengukuhan fiskal negara ini yang masih utuh.
Menurut Naib Presiden/Penganalisis Kanan Kumpulan Risiko Negara firma penarafan itu, Christian de Guzman, penarafan ‘A3’ Malaysia berserta unjuran positif itu dibuat berdasarkan kemajuan aspek pengukuhan fiskal serta bersandarkan langkah kerajaan melaksanakan semakan semula bajet yang turut melihatkan mekanisme penyelarasan harga minyak.
“Kami melihat pengukuhan defisit itu kekal utuh potongan perbelanjaan bagi yang melibatkan pengurangan subsidi bahan api,” katanya pada sesi rundingan meja bulat di sini, hari ini.
Namun, kata De Guzman, biarpun menerima penarafan stabil untuk tempoh melebihi 10 tahun ketika ini, Malaysia ternyata kehilangan asasnya berbanding negara-negara ASEAN lain kian berkembang dan mencatat kemajuan baru-baru ini.
Beliau merujuk Indonesia yang diberi penarafan rendah ‘B3’ manakala Filipina ‘B1’ pada pertengahan 2009 berikutan krisis kewangan Asia, namun kini kedua-duanya mencapai gred pelaburan stabil ‘Baa3’ dan ‘Baa2.’
“Malaysia juga tidak terkecuali berdepan impak masalah ekonomi global semasa seperti kelembapan ekonomi China, penangguhan kenaikan kadar faedah oleh pihak Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) dan harga komoditi yang rendah,” katanya.
Malah, unjuran pertumbuhan yang lemah bagi kebanyakan pasaran negara pesat membangun akibat faktor kelembapan ekonomi China, penurunan harga komoditi dan aliran pergerakan modal, jelas ketara menerusi rizab Malaysia yang rendah serta penyusutan nilai ringgit yang memberi kesan terhadap keyakinan ekonomi, katanya.
Menurutnya, kelemahan mata wang dan jumlah rizab yang rendah terbukti menjadi antara perkara yang menjejaskan profil penarafan kredit negara.
Sebaliknya bagi Malaysia, biarpun rizab yang rendah tidak sekukuh sebelum ini, ia ternyata masih memadai.
Mengulas penyusutan ringgit, de Guzman berkata ia memberi kesan kecil terhadap penarafan profil kredit Malaysia berbanding kesan dialami negara lain.
“Antara alasannya adalah profil hutang kerajaan dalam denominasi ringgit manakala sebahagian besar hutang luar negara juga dalam ringgit,” katanya.
Beliau berkata, prospek masa depan Malaysia adalah positif dan masih bersandarkan aspek pengukuhan fiskal serta sama ada kerajaan sanggup merasionalisasikan perbelanjaan daripada terus memberi tekanan terhadap pendapatannya.
Mengenai kesan risiko politik, beliau mengakui impaknya tidak boleh dinafikan daripada risiko luaran seperti pelabur asing, tetapi kesannya adalah berasingan daripada risiko dasar.
“Walaupun berdepan masalah, Malaysia terus kekal sebagai negara paling pesat membangun dalam rantau ini biarpun pertumbuhannya kini perlahan,” katanya.