Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan Barisan Nasional (BN) bukan kerajaan yang angkuh, sebaliknya sentiasa bersedia memperbaiki sebarang kelemahan.
Menurutnya kerajaan bersedia menerima teguran daripada rakyat, namun memerlukan tempoh masa tertentu untuk menyelesaikan sesuatu perkara yang dibangkitkan.
“Kita tahu apa kelemahan kita. Kita sanggup membetulkan kelemahan kita. Kita bukanlah kerajaan yang angkuh. Kita bukanlah kerajaan yang sombong dan bukanlah kerajaan yang kata kita ini segala-galanya baik, tetapi kita sanggup membetulkan apa yang masih lagi perlu diperbetulkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Bangunan Yayasan Pewaris Batu di sini, malam ini.
Presiden UMNO dan Pengerusi BN itu sekali lagi menegaskan demonstrasi jalanan bukan kaedah terbaik menangani sebarang permasalahan kerana kerajaan mempunyai kaedah tersendiri untuk menyelesaikannya.
“Saya dah kata bagi tempoh. Kalau dulu pun ada isu krisis kewangan Asia lagi teruk. Berapa (banyak) syarikat tertiarap masa itu, tersungkur, nilai ringgit merudum sampai RM4.88 waktu itu, ekonomi menguncup -7 peratus, rizab kita RM20 bilion, tetapi kita tidak menggulingkan kerajaan,” katanya.
Sebaliknya pada masa itu, beliau berkata semua pihak memberikan sokongan kepada kepimpinan negara, termasuk beliau sendiri.
“Saya sendiri lantang menyokong pimpinan pada masa itu kerana kita mahu apa jua masalah berlaku, diselesaikan oleh pucuk pimpinan dan inilah cara kita di Malaysia,” katanya.
Beliau yakin sekiranya sokongan padu diberikan kepada pucuk pimpinan parti, sebarang masalah akan dapat diselesaikan dengan mudah.
Sementara itu, beliau berharap bangunan Yayasan Pewaris Batu yang turut menempatkan pejabat UMNO Bahagian Batu akan menaikkan lagi semangat anggota UMNO bahagian itu untuk terus berjuang.
Bangunan itu akan dijadikan pusat khidmat masyarakat UMNO Bahagian Batu bagi menggerakkan aktiviti kebajikan, ekonomi dan pendidikan.
Hadir sama pada majlis itu Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan anggota majlis tertinggi UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.