Kualiti udara di sembilan kawasan di seluruh negara merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat pada pukul 1 tengah hari Isnin, berbanding 12 kawasan pada pukul 8 pagi Isnin.
Menurut portal Jabatan Alam Sekitar (JAS), dua kawasan baharu yang mencatatkan bacaan IPU tidak sihat tengah hari ini berbanding tahap sederhana sebelumnya adalah Pasir Gudang yang mencatatkan bacaan 107 berbanding 99 sebelumnya dan Larkin Lama 103 berbanding 93 sebelumnya.
Lima kawasan lagi dengan IPU tidak sihat ialah Bandaraya Melaka (140), Bukit Rambai (130), Samarahan (122), Port Dickson (119), Kuching (115), Seremban (111) dan Muar (105).
Sementara itu, 31 kawasan mencatatkan bacaaan sederhana antaranya Jerantut (94), Batu Muda, Kuala Lumpur (86), Kota Tinggi (81), Miri dan Kuala Selangor, masing-masing mencatatkan bacaan (71), Kota Kinabalu (64) dan Paka (61) manakala selebihnya mencatatkan bacaan IPU baik.
IPU antara 0 dan 50 adalah baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya).
Orang ramai boleh merujuk portal http://apims.doe.gov.my/v2/ untuk mengetahui bacaan IPU semasa.