Pengerusi Gabungan Badan Ekonomi (Gabem), Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik memohon maaf kepada Istana Selangor berhubung status yang mendakwa Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah menganut agama Kristian (Katolik) dimuat naik menerusi laman Twitter dan Facebook miliknya.
Malah, beliau turut mengakui berita tersebut diambil daripada sebuah laman web tidak berasas.
“Merujuk kepada status saya di Twitter dan Facebook mengenai dakwaan Raja Muda Selangor memeluk agama Katolik, saya mengakui ia dari sebuah laman web tidak berasas.
“Saya memohon maaf di atas ketidakselesaan Raja Muda Selangor dan Istana Selangor disebabkan status tersebut,” katanya menerusi laman Facebooknya, Rahim TambyChik.
Dakwaan tersebut bagaimanapun dinafikan Istana Selangor dan disifatkan sebagai tidak berasas, tidak benar dan berunsur fitnah.
Malah, pihak Istana turut membuat dua laporan polis di Balai Polis Seksyen 6 di Shah Alam berhubung berita palsu tersebut.
Laporan polis itu dibuat oleh Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani dan setiausaha sulit putera Sultan Selangor, Hanafisah Jais pada pukul 4 petang Isnin.
Menurut dua laporan berkenaan, kedua-dua pengadu berkata, mereka menjumpai status yang dikeluarkan oleh seorang pengguna menggunakan nama samaran “Rahim Tambychik”, semasa menggunakan laman sosial itu Istana Mestika di Seksyen 7, Shah Alam pada kira-kira pukul 8 pagi Jumaat lalu.