Selepas serangan menggunakan isu-isu besar seperti 1MDB, derma RM2.6 bilion dan dakwaan Datuk Seri Najib Razak akan ditangkap Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) tidak member kesan terhadap Perdana Menteri, pihak yang anti dengannya cuba mengaitkan pula beliau dengan Israel.
Ini berpunca gambar Najib sedang bertegur sapa dengan Menteri Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu sewaktu Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, minggu lalu.
Gambar itu dijadikan viral kononnya Najib begitu mesra dengan Netanyahu sedangkan dunia tahu Perdana Menteri dan rakyat Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya kekejaman Israel terhadap umat Islam terutama di Palestin.
Pihak anti Najib termasuk penyokong mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, pembangkang serta media yang pro kepada kedua-dua pihak cuba mencemarkan imej Najib kononnya Perdana mengatur pertemuan dengan Netanyahu.
Mereka turut mengambil kesempatan memutar kenyataan portal berita Israel yang memberi gambaran seolah-olah Perdana Menteri Malaysia bersikap mesra dengan perdana menteri mereka.
Mereka tahu dengan memuji Najib tentu akan menimbulkan kebencian dan kemarahan umat Islam di negara ini yang memang membenci dan mengutuk kekejaman Israel terhadap penduduk Palestin.
Blog pembangkang di negara ini pula mahu menunjukkan kononnya Najib seorang yang hipokrik kerana menentang Israel di depan umum tetapi di belakang, beliau bermesra dengan pemimpin negara itu.
Najib yang menyifatkan perkara itu fitnah segera menangkis tohmahan tersebut dengan member penjelasan bahawa beliau sebenarnya telah bertembung dengan pemimpin Israel itu di sebuah pintu di ibu pejabat PBB selepas Netanyahu selesai berucap dan giliran beliau pula selepas itu.
“Bukan saya jumpa…terserempak dekat pintu masuk ke PBB sebab dia berucap sebelum saya. Lepas tu saya berucap,” katanya menjawab soalan mengenai gambar beliau yang dikatakan bertemu dengan Netanyahu yang disebarkan di laman sosial.
Beliau berkata pada masa itu pemimpin itu sedang menunggu keretanya.
“Jadi dia salam dengan saya, saya salam dengan dialah. Bukan ada apa-apa, bukan pertemuan. Terserempak secara kebetulan sahaja. Ini boleh disahkan oleh Menteri Luar dan wakil duta di Amerika Syarikat dan Wakil Tetap Malaysia di PBB,” katanya.
Najib berkata jika beliau mengadakan perjumpaan dengan Perdana Menteri Israel itu tentulah ia dalam keadaan yang lebih formal.
Beliau berkata orang ramai dapat membezakan perkara yang benar dan sebaliknya.
“Apa-apa boleh menjadi viral. Apabila anda viral, mereka memberi gambaran salah mengenai kebenaran. Ini adalah bahaya media sosial,” katanya.
Menariknya selepas terserempak secara kebetulan itu, Najib tetap berani mengecam Israel dalam ucapannya selepas pertemuan itu.
Beliau menyentuh mengenai pertempuran yang berlaku di Masjid Al-Aqsa, Baitulmaqdis pada sambutan Rosh Hashanah atau Tahun Baharu Yahudi dan serangan ke atas penganutnya tiga minggu lalu.
Najib meminta Kerajaan Israel mematuhi prinsip etika tertinggi agama Yahudi, dan mesej utama kitab Taurat seperti rumusan pendeta abad pertama Sebelum Masihi (SM), Hillel.
Ketika diminta menjelaskan kandungan Taurat , beliau dirakam sebagai berkata: “Bahawa apa yang menjadi kebencian bagimu, jangan lakukan terhadap sesamamu.”
Kesimpulannya jika benar Najib ‘mesra’ dengan Israel, beliau tentu tidak akan menghentam Israel di pentas antarabangsa PBB apatah lagi selepas terserempak dengan Netanyahu.
Malangnya di Malaysia, ada pihak tanpa disedari menjadi batu api menggunakan gambar Najib dengan Netanyahu untuk memburuk dan memfitnah Perdana Menteri setelah pelbagai usaha sebelum ini tidak berhasil.
Jelas, orang kita sendiri telah bertindak seperti diharapkan Yahudi supaya Najib terus dibenci.
Mereka inlah gunting dalam lipatan dengan mengikut telunjuk Yahudi.