1Malaysia Development Bhd (1MDB) mencabar pengkritiknya yang paling setia menyediakan bukti dakwaan berlakunya penyelewengan kepada pihak berkuasa yang melakukan siasatan.
1MDB berkata, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua telah membuat dakwaan mempunyai ‘bukti jelas’ berlakunya pecah amanah, bersubahat dalam penipuan dan penyelewengan dalam firma pelaburan kerajaan itu.
“Ini adalah tuduhan jenayah yang serius, jadi kami menggesa Tony Pua mengotakan apa yang dikata dan menyediakan ‘bukti jelas’ kepada pihak berkuasa yang sah untuk siasatan lanjut.
“Bagaimanapun, jika dia tidak dapat memberikan bukti-bukti yang dinyatakannya, maka dia perlu berhenti membuat tuduhan liar dan tidak terbukti, yang jelas bermotifkan politik,” kata 1MDB dalam satu kenyataan pada Rabu
1MDB berkata ahli Parlimen DAP itu yang merupakan salah seorang ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), telah membuat kenyataan retorik dengan fakta rapuh.
“1MDB secara konsisten menegaskan bahawa jika terdapat sebarang bukti tentang salah laku, maka tindakan perlu diambil di bawah undang-undang,” katanya sebagai tindak balas kepada pusingan terbaru serangan Pua ke atas 1MDB.
Katanya, Jabatan Peguam Negara juga telah menyatakan bahawa 1MDB ‘bersih’ selepas mengkaji semua dokumen berkaitan yang terkandung dalam kertas siasatan Bank Negara Malaysia (BNM), termasuk borang permohonan yang dikemukakan oleh 1MDB dan surat-surat yang dikeluarkan oleh Bank Negara.
Bank Negara telah mengesyorkan tindakan terhadap 1MDB untuk pelanggaran yang didakwa di bawah Akta Kawalan Pertukaran Wang 1953 (ECA).
Peguam Negara Tan Sri Mohd Apandi Ali telah menyatakan bahawa Bank Negara telah memberikan kebenaran kepada 1MDB untuk membayar tunai kepada pelaburan di luar negeri sebanyak tiga kali pada tahun 2009, 2010 dan 2011.
1MDB berkata pengesahan Jabatan Peguam Negara adalah sejajar dengan pernyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dibuat pada 22 September mengesahkan bahawa syarikat itu tidak berada di bawah siasatan.
“(Walau bagaimanapun,) 1MDB terus bekerjasama rapat dengan Jabatan Audit Negara untuk memberikan maklumat yang diperlukan untuk laporan akhir, yang akan dibentangkan pada akhir tahun kepada PAC, di mana Tony Pua juga menjadi ahlinya,” katanya.