Penyanyi Amir (Ukays) dibebaskan dengan jaminan polis atas tuduhan memiliki pistol selepas ditahan polis pada Rabu.
Perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner R Munusamy.
Bagaimanapun katanya, pihak polis akan menyiapkan kertas siasatan berhubung perkara itu sebelum diserahkan kepada Peguam Negara untuk diputuskan sama ada penyanyi tersebut perlu didakwa atau sebaliknya.
Terdahulu Amir atau nama sebenarnya Mohd Amir Muhammad, 46, ditahan polis selepas dipercayai memilki senjata api pada kira-kira pukul 1.45 pagi Rabu.
Ketika pemeriksaan dilakukan polis menjumpai sepucuk pistol berwarna hitam yang tertera tulisan ‘Walther CP99 Compact’ dengan nombor siri 12L20520.
Dia ditahan ketika memberhentikan kenderaannya di tepi susur masuk ke Kampung Chubadak, Sentul dekat sini.
Dalam pada itu Amir menerusi kenyataannya kepada sebuah portal berita berkata pistol berkenaan adalah pistol mainan milik anaknya yang diletakkan di dalam kereta untuk kegunaan bagi menembak cicak.
Amir juga sudah memaafkan pihak-pihak yang telah menyebarkan gambarnya ketika ditahan sehingga ia menjadi viral di laman sosial.