LUNDU – Risau anak gadisnya berusia 14 tahun tidak pulang ke rumah kelmarin, seorang bapa sanggup mencari remaja itu sepanjang malam.
Pencarian lelaki berusia 48 tahun itu berakhir dengan kejutan apabila menemukan anaknya telah bermalam dengan seorang lelaki di sebuah resort di sini.
Sumber memberitahu, semasa ditemukan, gadis remaja berkenaan bersendirian dalam bilik manakala lelaki yang bersamanya sempat melarikan diri.
“Dia berusaha mencari anaknya sehingga ke resort berkenaan.
“Tiba di resort itu, dia terkejut mendapati anaknya berada dalam sebuah bilik bersendirian manakala lelaki bersamanya dipercayai melarikan diri melalui tingkap,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata, bapa kepada remaja itu kemudian membuat laporan di balai polis berdekatan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Wong Chee Keong ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kes tersebut.
Katanya, bapa kepada mangsa telah diminta membawa anaknya membuat pemeriksaan di Hospital Umum Sarawak (HUS) di Kuching.
“Pemeriksaan yang dilakukan mengesan koyakan lama pada kemaluan remaja perempuan tersebut.
“Siasatan awal mendapati mangsa berkenalan dengan suspek melalui aplikasi Wechat sejak tiga bulan lalu dan telah keluar bersama beberapa kali sebelum ini,” katanya.
Tambah Chee Keong, siasatan lanjut masih dijalankan dan suspek akan didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.