Kuala Kubu Bharu: Guru Besar sekolah rendah di Gombak yang mengalami masalah kemurungan dilaporkan hilang dari rumahnya di Taman Seruling, dekat sini, sejak Jumaat lalu.
Jashiah Rabu, 53, disedari hilang dari rumahnya pada petang 23 Oktober lalu ketika suaminya yang hanya mahu dikenali sebagai Ruzilan, 54, pulang selepas mengambil anak mereka di Gombak.
Menurutnya, isterinya dipercayai mengalami masalah kemurungan kesan pengambilan ubat rawatan barah payu dara yang dihidapi sebelum ini.
“Saya sedar dia tiada di rumah ketika tiba di rumah pada 3 petang Jumaat lalu.
“Seorang anak muridnya yang tinggal di Kampung Orang Asli Buloh Telur, Kuala Kubu Bharu mendakwa melihatnya menaiki sebuah kereta Orang Asli di dalam kampung itu Sabtu lalu,” katanya.
Menurutnya, dia membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Selangor pada Sabtu lalu selepas isterinya tidak pulang seharian.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor R Supramaniam ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata usaha mencari mangsa sedang dijalankan.