Dua maut manakala tiga parah dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di KM57 jalan persekutuan menghala Rasa, Hulu Selangor, dekat sini awal Rabu.
Dalam kejadian 1 pagi itu, kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux dari arah Rasa menuju ke Kuala Kubu Baharu dipercayai hilang kawalan dan bertembung dengan Proton Waja dinaiki lima lelaki.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt R Supramaniam berkata penumpang kereta berkenaan, pemandu S Muniandy, 31, dan R Parasivem, 28, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Tiga yang cedera Suresh Rajah, 37; Subramaiam S Thiruvengidam, 34, dan Surendran Vejaya Kumaran, 19.
Pemandu Toyota Hilux, Chan Hwa Meng, 62, tidak mengalami kecederaan, katanya ketika dihubungi.
Supramaniam berkata mayat kedua lelaki itu serta mereka yang cedera dibawa ke Hospital Kuala Kubu Baharu dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Baharu Kamil Hamadan berkata tujuh anggota bersama lima jentera dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada 1.23 pagi.
“Kami mengeluarkan mangsa yang tersepit pada 2.09 pagi dan dua lelaki disahkan maut di tempat kejadian,” katanya.