GEORGETOWN: Seorang lelaki tercampak ke dalam laut selepas motosikal ditunggangnya bergesel dengan motosikal lain di Jambatan Pulau Pinang, di sini hari ini.
Mohammad Noor Firdaus Yahya, 24, bagaimanapun hanya cedera ringan selepas terhumban ke dalam lumpur di bawah jambatan itu.
Penguasa Bomba Kanan II Balai Bomba dan Penyelamat Perai, Roslan Rashid berkata kejadian pada 9.30 pagi di KM1.4 Jambatan Pulau Pinang itu membabitkan dua motosikal dari arah Perai menghala ke pulau.
“Muhammad Noor Firdaus bernasib baik kerana air laut surut menyebabkan sebahagian badannya terbenam dalam lumpur,” katanya di sini.
Roslan berkata pihaknya menjalankan operasi mencari dan menyelamat di sekitar jambatan serta di permukaan air dari atas jambatan itu sebaik mendapat laporan berhubung kejadian itu.
“Mangsa ditemui di permukaan air dan dibawa keluar menggunakan sistem anchoring…kami menariknya ke atas jambatan yang setinggi kira-kira 10 meter itu,” katanya.
Kemalangan itu menyebabkan kesesakan lalu lintas kira-kira lima kilometer berikutan pengguna jalan raya berhenti untuk melihat dan ada yang cuba menyelamatkan mangsa.