Kegagalan menyenaraikan aset tenaga 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada tahun lalu menjadi punca utama kepada masalah aliran tunai syarikat itu, kata Presidennya Arul Kanda Kandasamy pada Sabtu.
Menurut Arul, 1MDB mempunyai dua tarikh yang disasarkan untuk menyenaraikan aset tersebut yang kini dibawah unit Edra Global Energy Bhd.
Kali pertama pada November 2013 dan tarikh lain ditetapkan pada November tahun lalu.
“Dalam kedua-dua keadaan, atas pelbagai sebab termasuk faktor dalaman dan luaran, tawaran awam permulaan (IPO) tidak berlaku,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Kuala Lumpur.
Arul menjelaskan apabila IPO gagal dilakukan, timbul ketidaksepadanan antara caj faedah yang perlu dibayar dalam tempoh yang singkat selain pembayaran utama.
“Itu jawapan saya mengapa 1MDB menghadapi masalah dan cabaran yang kita lalui pada hari ini,” katanya.
Beliau berkata, tanpa mengurangkan beban hutang semasa sebanyak RM42 bilion, kos caj faedah perkhidmatan ke atas jumlah hutang mencecah RM2.4 bilion setahun.
Jelas beliau lagi, 1MDB merancang untuk mengurangkan keseluruhan hutang pada Jun tahun depan menerusi satu siri rasionalisasi.
Penjualan Edra kepada pembida yang berminat yang sedang dilakukan ketika ini dijangka dapat mengurangkan antara RM16 bilion hingga RM20 bilion bebanan hutang.