“Saya sebut yang saya sudah menyertai politik selama 20 tahun dan melalui lima pilihan raya umum, kami tak pernah terima sesen pun daripada BN.
“Jadi semua bersetuju dan berterima kasih kepada beliau.
“Dan sewaktu pilihan raya, beliau menunaikan kata-katanya dan memberikan dana itu”.
Itu pengakuan bekas presiden MCA, Tan Sri Dr Chua Soi Lek berhubung dana kontroversi RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri dan digunakan untuk membiayai kempen parti komponen Barisan Nasional (BN).
“Saya ingat dengan jelas, saya yang pertama berterima kasih kepadanya,” kata Chua perjalanan satu mesyuarat majlis tertinggi BN sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) pada Mei 2013.
Beliau bagaimanapun mengakui tidak pasti sama ada dana itu digunakan sepenuhnya untuk PRU13.
“Tentunya, tidak ada yang tahu jika ada sebahagiannya tidak digunakan untuk pilihan raya itu.
“Kerana itulah kita perlu menunggu siasatan selesai,” katanya yang turut memaklumkan menemui Datuk Seri Mohd Najib Razak sekalipun sudah bersara dari dunia politik.
Menurutnya, beliau memaklumkan kepada Perdana Menteri agar meneruskan usaha kerja keras meyakinkan orang ramai di peringkat akar umbi sekalipun mendapat sokongan kukuh di peringkat atasan.
“Saya beritahu beliau yang beliau masih ada banyak kerja perlu dilakukan. Beliau perlu meyakinkan orang ramai yang wang di dalam akaunnya tidak salah di sisi undang-undang.
“Selagi mana wang itu tidak datang daripada kerajaan atau 1MDB, tiada apa-apa yang salah.
“Kerana di Malaysia, tiada undang-undang mengkehendaki anda melaporkan sebarang wang yang didermakan orang bagi tujuan pilihan raya,” katanya.
Isu dana sumbangan RM2.6 bilion menjadi isu panas selepas laporan Sarawak Report dan The Wall Street Journal (WSJ) Julai lalu menyebut ianya berada di dalam akaun peribadi Najib.
Susulan itu pelbagai spekulasi dan fitnah tersebar antaranya mendakwa bahawa dana itu datangnya daripada SRC International, anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagaimanapun kemudiannya membersihkan 1MDB sebagai punca asal wang itu namun siasatan ke atas SRC International masih diteruskan.