Sebuah bangunan empat tingkat yang masih dalam pembinaan di Sekinchan runtuh.
Namun, tiada sebarang kecederaan dilaporkan semasa insiden itu.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Sekinchan, Mohd Fadhli Ahmad berkata anggotanya dikerahkan ke Jalan Gereja di Pekan Sekinchan kira-kira pukul 6.51 petang Selasa.
Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian mereka mendapati bangunan yang masih dalam pembinaan itu runtuh sepenuhnya.
Pegawai itu berkata kebakaran bukan punca kegagalan struktur dan cuaca di lokasi dilaporkan dalam keadaan baik sepanjang hari.
“Tiada hujan di Sekinchan sepanjang hari ini. Pekerja di sana menyedari bangunan tersebut menjadi tidak stabil dan meninggalkannya sebelum runtuh. Kami masih lagi menyiasat punca runtuhan ini,” katanya.
Tapak pembinaan itu dibersihkan kira-kira pukul 9 malam.
Sebuah trak jentera bomba dengan sembilan anggotanya diarahkan untuk melakukan operasi pembersihan itu.