Kuala Kubu Bharu: “Ibu ada cakap jangan balik asrama, nanti tak jumpa lagi selain beberapa soalan pelik lain yang ibu cakap seperti kalau ibu dan ayah meninggal, siapa nak jaga saya nanti,” kata Farah Iwani Ruzilan, 16, mengenangkan kata-kata terakhir ibunya, Jashiah Rabu, 53, sebelum wanita itu dilaporkan hilang sejak 23 Oktober lalu.
Farah Iwani yang ditemui di pusat operasi di Kampung Orang Asli Buloh Telur di sini, semalam berkata, ketika itu, dia hanya menjawab pertanyaan ibunya tanpa mengesyaki sebarang perkara pelik akan berlaku.
Bagaimanapun, anak bongsu Jashiah itu berkata, dia sudah bersedia menerima segala kemungkinan selepas kehilangan ibunya memasuki hari ke-14, semalam.
“Saya reda dengan apa saja yang berlaku sebab ibu sudah hampir dua minggu tidak pulang.
“Namun, saya tetap berharap operasi ini dapat menemui ibu dalam keadaan selamat,” katanya sebak.
Menurutnya, kali terakhir dia menemui ibunya pada 23 September lalu sebelum dia pulang ke asrama Sekolah Agama Menengah Rawang.
Katanya, dia begitu merindui kepulangan ibunya dan berharap keajaiban akan berlaku dan ibunya ditemui dalam keadaan selamat.
“Sepanjang tempoh kehilangan ibu, abang sulung, Muhamad Syahidzul Izwan, 23, antara yang sentiasa mengikuti operasi pasukan menyelamat untuk mencari ibu.
“Abang antara yang paling rapat dengan ibu. Saya percaya abang juga sangat merindui ibu. Setiap perkembangan operasi akan dimaklumkan kepada kami sekeluarga.
“Ayah beritahu ketika menyertai operasi, abang turut memanggil ibu dan melaungkan azan dengan harapan dapat berjumpa semula dengan ibu,” katanya.
Operasi pencarian yang bermula jam 8 pagi setiap hari dianggotai seramai 82 orang daripada pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 3 Senoi Praq dan PGA Batalion 18 Pengkalan Hulu, Perak serta Persatuan Malim Gunung Malaysia.
Jashiah yang dilaporkan hilang sejak 23 Oktober lalu pernah dilihat oleh penduduk Kampung Orang Asli Buloh Telur yang mendakwa ternampak mangsa berjalan seorang diri dalam keadaan tidak terurus.