Azmin berdolak dalik enggan dedahkan pecahan kos sebenar ambil alih air Selangor
Rakyat Selangor keliru berhubung kenyataan Mohamed Azmin Ali bahawa jika ada sebarang kenaikan tarif air, ia tidak akan membebankan rakyat.
Naib Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Mat Nadzari Ahmad Dahlan berkata, kenyataan Menteri Besar Selangor itu jelas menunjukkan potensi kenaikan tarif di masa hadapan tidak boleh dielakkan atau tidak boleh selalu dipertahankan.
“Kenyataan Menteri Besar bahawa jika ‘…ada sebarang kenaikan ianya tidak akan membebankan rakyat…’ mengundang satu persoalan yakni kebarangkalian tarif air itu naik ada atau kepastian itu tidak ada’” katanya menerusi whatsapp kepada BNBBC.my.
Menurutnya, Azmin dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Rabu jelas dengan sengaja tidak menjawab pertanyaan lisan yang dikemukakannya, malah sebaliknya sengaja mengalih perhatian dengan memberi jaminan bahawa kenaikan tarif air di Selangor tidak akan memberi kesan kepada rakyatnya
Mat Nadzari yang juga ADUN Batang Kali menambah bahawa Azmin juga tidak menyatakan jumlah keseluruhan pembelian semua syarikat konsesi (RM9.65 bilion) sebaliknya hanya menyebut nilai kos tambahan yang terlibat.
“Harga tawaran untuk pengambilalihan tiga buah syarikat konsesi air secara keseluruhan berjumlah RM1.68 bilion iaitu RM1.07 bilion untuk pengambilalihan Puncak Niaga dan RM0.52 bilion untuk pengambilalihan Syabas dan RM0.09 bilion untuk Abbas,” kata Azmin.
Menurut Mat Nadzari, apa yang penting pada rakyat ialah penstrukturan air kali ini tidak akan menyebabkan sebarang kenaikan di masa akan datang.
“Penerbitan laporan tahunan Air Selangor bukan sesuatu yang ganjil untuk dipuji kerana ia adalah satu tanggungjawab.
“Jadi kita berharap agar penstrukturan semula ini tidak akan menzalimi sesiapa dan tidak melibatkan kos-kos baru yang lebih mahal,” tambahnya.
Dalam sidang DUN lalu, bekas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mendesak Azmin memperincikan kos pengambilalihan 4 syarikat konsesi air itu tetapi Azmin hanya menyentuh kos RM2 bilion daripada jumlah keseluruhan RM9.65 bilion.
Khalid menegaskan penjelasan berkaitan baki RM7.65 bilion itu penting kerana dikhuatiri akan menyebabkan tarif di negeri itu meningkat.